Sabah yakin hak geran 40 peratus akan dimuktamadkan – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin isu tuntutan geran khas 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Ini berikutan hubungan yang disifatkannya “cukup kukuh” antara kerajaan negeri dan Putrajaya.

Katanya, kerjasama erat itu penting bukan sahaja untuk pembangunan, tetapi juga perkara melibatkan kedaulatan, keselamatan dan perpaduan negara.

Menurut Hajiji, perjuangan menuntut hak Sabah tidak pernah terpinggir, namun ia mesti digerakkan seiring tanggungjawab menjaga kepentingan negara.

“Hubungan yang kukuh ini akan membawa manfaat besar, termasuk memuktamadkan obligasi pembayaran 40 peratus yang kita tuntut,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Madani yang dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di SICC.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan tumpuan kepada peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Setiap perancangan,

katanya, harus menghasilkan peluang pekerjaan dan memberi impak langsung kepada taraf hidup rakyat Sabah.

Mulai tahun depan, hala tuju pembangunan negeri dipandu oleh Sabah Maju Jaya 2.0, termasuk pembentukan tiga taman perindustrian baharu: Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Beaufort, serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor di kawasan Kota Belud–Kota Marudu.

Langkah ini bertujuan memenuhi permintaan pelabur yang semakin meningkat.

Hajiji turut mengumumkan beberapa penambahbaikan bantuan sosial, termasuk pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ di setiap DUN, bantuan kewangan RM300 untuk 100,000 penerima, serta skim baharu untuk warga emas tanpa pendapatan tetap dan insentif pembiayaan deposit rumah pertama.

Selain itu, lebih RM1.2 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf bekalan air secara berfasa bermula pertengahan 2026.

Dalam masa sama, Ketua Menteri merakamkan penghargaan kepada Anwar atas peruntukan RM765 juta bagi menyelesaikan Projek Sabah Southern Link, yang bakal menghubungkan grid elektrik Pantai Barat dan Pantai Timur.

Beliau turut memuji pasukan keselamatan atas peranan mereka memastikan ketenteraman sepanjang pilihan raya negeri baru-baru ini.