KOTA KINABALU: Kontinjen badminton Majlis Sukan Sukan Sabah (MSS) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih satu pingat emas, empat pingat perak dan dua gangsa pada Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSN) yang berlangsung di Ipoh, Perak pada 13 sehingga 17 September.
Pelajar Sabah yang menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Saidatul Saadiah Binti Muhammad muncul sebagai hero bagi pasukan Sabah selepas menewaskan rakan senegeri Jola Lim Zi Yu 21-19,21-17 pada peringkat akhir perseorangan perempuan bawah 18 Tahun.

Saidatul Saadiah, 17, menunjukkan peningkatan yang sangat ketara selepas memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil dan kini menjadi harapan mewarnai sukan badminton negara pada masa depan.
Turut menyerlah pada kejohanan badminton MSSM itu ialah Muhammad Nur Azhar Zunaide yang meraih pingat perak acara
perseorangan lelaki bawah 18 tahun, gandingan Muhammad Nur Azhar Zunaide dan Hymns Isaiah Shim (bergu lelaki bawah 18 tahun) dan pasangan Lin Yao Rong -Lim Ke Xuan (bergu campuran).
Chua Jing Xuan pula menyumbang pingat gangsa dalam acara perseorangan perempuan bawah 15 tahun manakala Hymns Isaiah Shim berpasangan dengan Saidatul Saadiah Muhammad melengkapkan pencapaian cemerlang Sabah selepas merangkul pingat gansa acara bergu campuran.
Prestasi baik itu menyaksikan Sabah menduduki di tangga keempat secara keseluruhan pada kejohanan MSSM itu.
Sementara itu, Pengurus pasukan badminton MSS Sabah Joe Gary JR Martin berpuashati dengan pencapaian kontinjen badminton MSS Sabah.
“Kita berharap ini (pencapaian) akan menyuntik semangat kepada para pemain MSS Sabah untuk berlatih dengan lebih gigih, sekali gus dapat merangkul kejuaraan keseluruhan pada masa depan,” katanya.
Bagi menghargai kejayaan tersebut, Tuan Datu Asrah Datu Ambas, Ketua Penolong Pengarah Bakat, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kemudiannya menyampaikan insentif kepada para pemenang di Arena Badminton Ipoh.
Datu Asrah turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada kontinjen badminton MSS Sabah, termasuk pengurus pasukan, para pemain dan jurulatih yang berjaya
membantu menaikkan imej MSS Sabah dalam arena badminton.
