PENAMPANG: Sebuah rumah musnah manakala dua kenderaan rosak dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Jalan Tambunan awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 pagi sebelum pasukan segera digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba jam 1.36 pagi, pasukan mendapati sebuah rumah runtuh sepenuhnya akibat dihimpit tanah runtuh, manakala dua kenderaan berhampiran turut rosak.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat, semua penghuni rumah dan penduduk berhampiran selamat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menasihatkan penduduk berpindah sekiranya hujan berterusan kerana bimbang berlaku runtuhan susulan.
Katanya lagi, keadaan tanah di lokasi masih lembut akibat hujan dan pasukan turut melakukan pemantauan bagi memastikan tiada ancaman baharu.
Operasi tamat pada jam 2.20 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.
