KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan keperluan kerjasama bersepadu antara agensi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian yang semakin membimbangkan, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, aktiviti perjudian dalam talian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memberi kesan serius dari aspek sosial, kewangan dan keselamatan, terutama kepada golongan belia dan pelajar.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan utama dalam menyekat akses kepada laman web, aplikasi dan kandungan berkaitan perjudian, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab terhadap siasatan dan tindakan undang-undang.
“Kerjasama rapat antara MCMC dan PDRM penting bagi membanteras sindiket perjudian yang beroperasi secara rentas sempadan dan menggunakan modus operandi baharu,” katanya.
James berkata demikian ketika menerima kunjungan Pasukan Penguatkuasa MCMC Sabah di sini semalam.
Beliau berkata, KPSTI akan mempergiat usaha pendidikan dan kesedaran digital dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
