KOTA KINABALU: Sabah FC memberi tumpuan penuh kepada aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup 2025/26 menentang Perak FA di Stadium MP Manjung, dengan keutamaan meraih keputusan positif sebelum aksi timbal balik di Likas.
Ketua jurulatihnya, Juan Torres Garrido, berkata pendekatan pasukan kekal berteraskan prinsip satu perlawanan demi satu perlawanan dalam usaha membentuk konsistensi.
“Kita perlu teruskan proses membina pasukan yang konsisten. Fokus kita hanya kepada perlawanan seterusnya,” katanya.
Garrido mengakui jadual padat dan tempoh latihan terhad memberi cabaran kepada pasukan, namun beliau melihat perkembangan positif daripada segi komitmen dan keserasian pemain.
Menurutnya, analisis terhadap Perak menunjukkan lawan memiliki organisasi permainan yang baik serta disiplin taktikal tinggi, khususnya dalam situasi serangan balas.
“Mereka sangat tersusun dan solid secara taktikal. Mereka juga berbahaya apabila diberi ruang untuk bergerak pantas,” katanya.
Walaupun aksi separuh akhir menggunakan format dua perlawanan, beliau menegaskan pendekatan taktikal tidak banyak berubah kerana fokus utama adalah mendapatkan asas kukuh dalam perlawanan pertama.
Sabah menyasarkan persembahan stabil di Manjung sebelum kembali beraksi di Stadium Likas bagi menentukan slot ke final.
