BEAUFORT: Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Takuli di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi Sabtu, dengan empat kenderaan dan enam motosikal turut terbakar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 3.56 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi, kira-kira 11 kilometer dari balai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Ishak Jabas, berkata jentera bomba tiba pada jam 4.11 pagi dan mendapati sebuah rumah berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki sedang terbakar dan musnah sepenuhnya.
“Kebakaran turut melibatkan empat kenderaan yang terbakar 100 peratus, terdiri daripada tiga kereta kompak dan sebuah van, selain enam buah motosikal di kawasan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air serta sumber air terbuka dari longkang menggunakan pam angkut.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.55 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.07 pagi selepas memastikan kawasan selamat,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Seramai sembilan anggota bomba terlibat dalam operasi dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
