Redonah Bahanda dilantik Pengerusi baharu Sedcovest

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda dilantik sebagai Pengerusi baharu Sedcovest Holdings Sdn Bhd berkuat kuasa hari ini.

Redonah secara rasmi memulakan tugasnya di Pejabat Sedcovest Holdings Sdn Bhd di Wisma Sedco, Wawasan Plaza di sini dan diberi taklimat berhubung operasi serta hala tuju syarikat oleh Pengurus Besar Sedcovest, Abd Rahim Md Zain bersama barisan pengurusan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah serta tanggungjawab besar dalam memastikan Sedcovest terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berdaya maju.

Menurutnya, pembangunan ekonomi inklusif perlu bermula di peringkat akar umbi dengan menyediakan peluang latihan keusahawanan, akses pembiayaan, bimbingan perniagaan serta peluasan pasaran khususnya kepada wanita yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, pendekatan itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Komitmen memperkasa ekonomi wanita luar bandar adalah penting bagi memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan selaras dengan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Redonah turut dibawa melawat premis perniagaan serta kemudahan Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) baharu di Anjung Selera, Teluk Likas bersama pihak pengurusan.

Hadir sama dalam sesi taklimat tersebut ialah Pengurus Kewangan dan Akaun, DK Elymanizan Pg Masri; Pengurus Pembangunan Usahawan, Nor Jahan Yaakub; Pengurus Pembangunan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Cannisius Ebin Gon; Pengurus Pembangunan Projek dan Perniagaan, Malizah Oldy serta Pengurus Pengurusan Hartanah, Dayang Hanizah Mohd Yusop.