KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebagai paling kritikal dalam sejarah politik negeri dan menggesa semua pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersatu menghadapi cabaran getir ini.
Beliau menegaskan, kerjasama dengan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) amat penting dan setiap pemimpin termasuk Ketua Bahagian mesti membantu calon yang dipilih, walaupun bukan dari parti sendiri.
“Kita mesti menang kali ini. Kalau mahu terus jadi kerajaan, kita perlu buang ego, hormat keputusan parti dan beri sokongan penuh kepada calon GRS dan PH,” katanya ketika berucap dalam satu perjumpaan khas, di sini pada Ahad.
Menurut Hajiji, tekanan yang dihadapi ketika ini sangat besar, terutama dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan tidak berasas dari pembangkang yang menurutnya hanya mahu menjatuhkan kerajaan tanpa membawa solusi.
“Mereka kata kita gagal, tapi realitinya hasil negeri meningkat dari RM4 bilion kepada RM7 bilion. Tahun depan, kita jangka lebih tinggi. Itu bukan kegagalan, itu kejayaan,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan lebih 100 syarikat tempatan Sabah kini terlibat dalam industri minyak dan gas hasil perjanjian strategik dengan PETRONAS — satu pencapaian besar bagi ekonomi negeri.
Hajiji berkata, jentera PRN GRS telah pun bersedia dan akan dilancarkan secara rasmi pertengahan Oktober ini sebagai simbol kesiapsiagaan menghadapi pertempuran politik yang sengit.
“Jika kita bersatu, kita akan menang. Jangan beri ruang kepada pembangkang yang hanya tahu mencipta persepsi, bukan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya yakin.