PRN Sabah: Jangan Tertipu Slogan, Sabah Perlukan Bukti, Bukan Cerita, Kosong – Hajiji

TAMPARULI:  Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membidas keras slogan-slogan parti lawan menjelang PRU17 Sabah, menyifatkannya sebagai retorik kosong yang tidak menjawab realiti cabaran negeri itu.

Menurutnya, slogan seperti “Selamatkan Sabah”, “Kasi Bagus Sabah” dan “Bikin Balik Sabah” gagal menjelaskan apa sebenarnya yang mahu diperbaiki, diselamatkan atau “dibaguskan”.

“Ada yang datang dengan slogan macam-macam. Saya pun tidak tahu apa yang mereka mahu selamatkan. Sabah tidak perlu slogan — Sabah perlu kerja,” katanya ketika berucap pada Jelajah Mega Tamparuli hari ini.

Hajiji menegaskan rekod pentadbiran GRS selama lima tahun jauh lebih kukuh berbanding retorik parti lawan, termasuk:

• Program SYUKUR – RM300 sebulan kepada 100,000 rakyat e-Kasih,

• Bantuan khas warga emas 60 tahun ke atas,

• Cadangan insentif rumah pertama bawah RM500,000,

• Projek pembangunan di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Yang buta mata atau sengaja tidak mahu tahu, itu golongan menafikan pencapaian GRS,” katanya.

Turut hadir ialah calon GRS Tamparuli, Dr Bonaventure Boniface, dan calon GRS Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Tamparuli berpotensi jadi daerah penuh

Hajiji turut memberi komitmen untuk menimbang cadangan menaik taraf Tamparuli sebagai daerah penuh jika GRS diberi mandat, seperti mana Paitan dan Sook.

Pengundi awal diingatkan pilih calon yang bekerja

Mengulas pengundian awal hari ini, Hajiji mengingatkan pengundi:

“Undilah yang bawa kemajuan, bukan pembawa slogan.”

Beliau turut yakin momentum kempen menunjukkan sokongan rakyat semakin memihak kepada GRS-PH.

“Rakyat sudah beri peluang kepada yang lain. Kini mereka mahu GRS kekal memimpin lima tahun lagi,” katanya.