Calon KDM Kiulu, Cuti Rehat kempen terima ijazah sarjana di tengah kempen PRN

TUARAN: Di tengah kesibukan berkempen, calon KDM bagi DUN Kiulu, Henry Saimpon, meluangkan masa menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor hari ini untuk menerima Ijazah Sarjana Sains Politik.

Henry, 50, yang berdepan persaingan lapan penjuru pada 29 November ini, berkata komitmen akademiknya diteruskan walaupun jadual kempen semakin padat.

“Selepas beberapa tahun bekerja keras, saya bersyukur dapat menamatkan pengajian ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pensyarah dan keluarganya.

Bekas pemain tengah Sabah itu pernah beraksi dalam Liga Perdana sejak 1997 dan kemudian bersama Johor FC pada 2002 sebelum kembali ke Sabah sehingga 2009.

Beliau dilantik sebagai pengurus pasukan Sabah pada 2019–2020, ketika pasukan itu muncul juara Liga Perdana dan layak ke Liga Super.

Dalam arena politik, Henry yang berasal dari Kampung Bongol mula aktif sejak 2018 sebelum dilantik sebagai Naib Presiden KDM pada 2023.

Beliau kini mempertaruhkan tujuh teras manifesto yang menekankan pembangunan infrastruktur, pertanian, eko-pelancongan, pendidikan, kebajikan serta pemerkasaan adat dan identiti masyarakat Kiulu.

Henry turut memegang jawatan Timbalan Presiden KDM Malaysia dan aktif dalam NGO sebelum menyertai politik sepenuhnya.

Beliau berharap latar pendidikan dan pengalaman pengurusan mampu menjadi nilai tambah menjelang hari pengundian.