KOTA KINABALU: PGRS Bahagian Sulabayan menyokong penuh cadangan penstrukturan semula organisasi parti daripada 74 kepada 26 bahagian sebagai langkah memperkukuh gerak kerja parti.
Ketua Bahagiannya, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, langkah itu bukan sekadar perubahan angka tetapi satu reformasi dalaman yang penting bagi memastikan parti lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata, struktur lebih kecil dan fokus membolehkan keputusan dibuat lebih pantas selain mengurangkan kerenah birokrasi.
“Ini sekali gus memperkukuh koordinasi di peringkat akar umbi dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu turut mencerminkan kesediaan PGRS menilai semula kekuatan dalaman dan memperbaiki kelemahan organisasi.
Tambah beliau, langkah berkenaan merupakan strategi proaktif sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
