Perpaduan Pemimpin–Rakyat Kunci Tangani Isu Penampang – Ewon

PENAMPANG: Kerjasama dan perpaduan erat antara pemimpin serta rakyat Penampang perlu diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan daerah itu berjalan seiring dengan penyelesaian isu berlarutan seperti banjir dan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata pendekatan kolektif amat penting kerana setiap pihak mempunyai peranan tersendiri dalam menjayakan agenda pembangunan daerah.

“Jika kita bekerjasama dan saling melengkapi, saya yakin pembangunan Penampang serta isu-isu yang dihadapi rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Krismas dan Tahun Baharu serta Tamu Desa Ramayah di Dewan Raya Kampung Ramayah, hari ini.

Menurut Ewon, Penampang memiliki potensi besar untuk terus berkembang dan bersaing dengan Bandaraya Kota Kinabalu, malah berupaya muncul sebagai bandar kedua di Pantai Barat Sabah.

Beliau turut mengingatkan bahawa status Penampang yang kini dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran menuntut tahap perkhidmatan awam dan kepimpinan yang lebih cekap serta telus.

“Rakyat akan memantau perkhidmatan yang diberikan. Tanggungjawab kita adalah memastikan setiap aspek tadbir urus berada pada tahap terbaik,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menegaskan komitmennya untuk terus membawa dan memperjuangkan isu-isu berkaitan daerah itu di Dewan Rakyat.