SANDAKAN: Aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk pasaran luar negara berjaya dibongkar oleh Pasukan Polis Marian Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi khas di Batu 1/2, di sini, pada 9 Januari lalu.
Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Supt Jaffri Bidin, berkata serbuan kira-kira jam 12.35 tengah hari itu dilaksanakan hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin Sandakan menerusi Op Taring Landai Khas Kontraban/Operasi Bersepadu Inter Agensi.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah gudang mendapati aktiviti pembungkusan semula minyak masak bersubsidi kepada minyak masak eksport tanpa permit sah sedang dijalankan, melibatkan sebuah lori kotak dan dua lori tangki.
“Seorang lelaki warga Pakistan yang berada di lokasi kejadian ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN),” katanya.
Beliau berkata, rampasan membabitkan 516 kotak minyak masak jenama Burung Puyuh dan 410 kotak minyak masak jenama Mimosa, selain dua lori tangki serta sebuah lori, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,576,402.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
