Penyelenggaraan saliran segera perlu elak banjir berulang di Ranau – Masidi

RANAU: Kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran sungai perlu dilaksanakan segera susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai, di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata langkah awal yang diambil termasuk pembersihan sistem perparitan serta pemasangan paip pembentung baharu bagi memastikan aliran air lebih lancar.

Menurutnya, tindakan itu turut melibatkan penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengurangkan risiko banjir berulang, terutama ketika cuaca tidak menentu.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian tersebut, sebanyak 19 kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan oleh sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.

Polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung terlibat bagi memastikan keadaan terkawal.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, Pusat Khidmat DUN Karanaan akan terus memantau situasi dan bersiap sedia menyalurkan bantuan kepada kawasan berisiko banjir serta tanah runtuh.