Penolong Pengurus Besar Syarikat Perlombongan Emas Didakwa Seleweng RM230,000

TAWAU – Seorang penolong pengurus besar sebuah syarikat perlombongan emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM230,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram antara tahun 2021 hingga 2023.

Tertuduh, Brando Pang Tze Chiang, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan, Brando didakwa menerima empat transaksi wang antara RM40,000 hingga RM75,000 daripada akaun Kedai Emas Sri Hawa ke dalam dua akaun bank miliknya — Public Bank dan Hong Leong Bank — di Tawau dan Damansara Utama.

Kesemua wang berkenaan dipercayai hasil aktiviti haram yang dipindahkan daripada akaun Maybank Islamic milik Kedai Emas Sri Hawa.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Vivian Thien Shin Ying.

Mahkamah menetapkan 2 Disember 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.