Menjelang Ramadan, SNT Anjur Program “Sekampit Beras” Bantu Golongan Memerlukan

KOTA KINABALU: Menjelang kedatangan bulan suci Ramadan Al-Mubarak, Sabah News Today (SNT) menganjurkan Program Kebajikan “Sekampit Beras” sebagai inisiatif mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.

Program berkenaan bertujuan mengajak orang ramai, khususnya pembaca setia SNT, untuk bersama-sama berkongsi rezeki dan mengambil keberkatan sempena bulan yang penuh kemuliaan dan rahmat.

Menurut pihak pengurusan SNT, segala sumbangan yang diterima akan disiarkan di semua platform media SNT sebagai tanda ketelusan selain memberi ruang kepada masyarakat untuk turut serta dalam usaha kebajikan tersebut.

“Sumbangan Program ‘Sekampit Beras’ ini boleh disalurkan terus kepada pihak pengurusan SNT dan akan dijadualkan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

SNT berharap inisiatif berkenaan dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan selain menyemarakkan semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat Sabah sempena Ramadan Al-Mubarak.