SEMPORNA: Misteri kehilangan seorang lelaki selepas perlanggaran dua bot penumpang di perairan Seafest Semporna, akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia, pagi ini.
Mangsa berusia 24 tahun itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8.37 pagi sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi bagi mengambil mayat mangsa.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi SAR hari ketiga bermula seawal jam 6.30 pagi dengan radius pencarian diperluaskan menggunakan aset sedia ada termasuk bot penyelamat.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Marin sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, 9 Januari lalu, dua bot penumpang dilaporkan bertembung membabitkan tujuh individu. Enam mangsa terselamat manakala seorang lagi dilaporkan hilang sebelum ditemui hari ini.
Operasi SAR yang turut membabitkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 pagi.
