Masiung Dakwa Lamag, Sukau Tunggu Kejutan PRN-17”

SANDAKAN: Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, mencuri perhatian apabila mendakwa dua kubu tradisi Umno-BN — Lamag dan Sukau — kini berada “di ambang kejutan besar” menjelang PRN-17.

Masiung, yang dikenali dengan slogan “Tatap Kalaga”, berkata gelombang sokongan anak muda terhadap GRS semakin ketara dan kini mengubah mood politik di kawasan yang selama ini dianggap ‘tak boleh disentuh’.

Menurutnya, selepas bersama calon GRS Lamag, Juhainizamshah Johari, dan calon GRS Sukau, Datuk Juhari Janan, beliau melihat arus sokongan yang “jauh lebih drastik daripada jangkaan awal”.

“Di Lamag, kali ini kita naik kereta baharu yang laju — kereta lama banyak kali rosak.

Di Sukau, saya rasa kejutan memang tak dapat dielakkan. Pengundi pun macam dah bersedia rehatkan pemimpin lama,” katanya.

Masiung menegaskan bahawa status penyandang, termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin di Lamag serta pimpinan Umno Sabah di Sukau, tidak lagi menjadi jaminan dalam suasana politik PRN kali ini.

“Atas kertas BN mungkin kuat, tapi undi bukan ditulis atas kertas — ia di tangan rakyat. Bila angin perubahan bertiup, apa pun boleh berlaku,” katanya sambil menggambarkan gelombang anak muda sebagai penentu sebenar PRN-17.