Sipitang bakal terima pelaburan RM31 bilion daripada Singapura, 7,000 peluang pekerjaan menanti

KOTA KINABALU: Sabah dijangka menerima pelaburan baharu bernilai RM31 bilion daripada pelabur Singapura di Taman Perindustrian Minyak dan Gas, Sipitang, dengan perjanjian dimeterai dan disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelaburan besar ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan bukan sahaja dijangka melonjakkan ekonomi negeri, tetapi juga membuka ribuan peluang pekerjaan.

“Saya difahamkan, di peringkat pelaksanaan mereka memerlukan 7,000 hingga 8,000 pekerja, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah yang memerlukan,” kata Hajiji.

Beliau menekankan bahawa pelaburan ini adalah satu lagi bukti bahawa Sabah semakin menarik minat pelabur antarabangsa, khususnya dalam sektor minyak dan gas, yang menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi negeri.

Projek ini dijangka memberi impak besar terhadap sektor perindustrian dan ekonomi tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab perindustrian dan tenaga di Borneo.

Hajiji turut menyeru pihak berkuasa tempatan dan masyarakat agar bersedia mengambil peluang pekerjaan dan pembangunan yang bakal terhasil daripada projek berskala besar ini.