LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi menyelamatkan seorang kru kapal kargo yang cedera di perairan Labuan, awal pagi Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, Pusat Operasi Zon Maritim (PUSOP) Labuan menerima panggilan kecemasan daripada Labuan Port Control pada jam 2.15 pagi.
Menurutnya, kapal kargo terbabit berada kira-kira 2.6 batu nautika di tenggara Pulau Papan ketika makluman diterima.
“Bot Petir 90 digerakkan dari jeti Zon Maritim Labuan bagi melaksanakan operasi MEDEVAC,” katanya dalam satu kenyataan.
Izwanhadi berkata, mangsa yang merupakan warganegara Arab Saudi mengalami kecederaan akibat kebakaran elektrik melibatkan bahagian muka dan tangan.
Mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Labuan bagi rawatan lanjut.
