Mangsa Hilang Ketika Memanah Ikan Ditemui Lemas di Pitas

PITAS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti memanah ikan di perairan Kampung Pinggan-Pinggan sejak semalam ditemui meninggal dunia pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima maklumat pada jam 7.36 pagi daripada penduduk kampung memaklumkan penemuan mangsa di kawasan bagang lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mangsa ditemui oleh penduduk kampung bersama keluarga dan dibawa ke tepi pantai menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan penyelamat kemudian mengangkat mangsa menggunakan stretcher dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut serta dihantar ke Hospital Pitas bagi proses siasatan.

Mangsa, lelaki tempatan berusia 42 tahun itu, sebelum ini dikhuatiri hilang ketika cuba mengejar perahu yang hanyut semasa aktiviti memanah ikan bersama seorang rakan di laut berhampiran kampung berkenaan.

Perahu mangsa ditemukan di Pantai Terunggug, namun mangsa gagal dikesan sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan masuk hari kedua.

Operasi SAR disertai lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas bersama agensi lain termasuk PDRM, APM, APMM, KKM dan penduduk kampung sebelum ditamatkan pada jam 9.15 pagi tadi.