Mangsa banjir Sabah meningkat kepada 495 orang

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 495 orang daripada 159 keluarga yang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat hari ini, berbanding 282 orang daripada 102 keluarga direkodkan petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan peningkatan itu susulan kejadian banjir yang melanda Kota Kinabalu dan Beaufort.

Di Kota Kinabalu, seramai 180 orang daripada 46 keluarga dari sebuah kampung dipindahkan ke PPS Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau.

Sementara itu, di Beaufort, 315 orang daripada 113 keluarga dari lapan kampung ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon.