Mahkamah lepas dan bebas tertuduh kes dokumen palsu KB1M

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Jumaat memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan seorang tertuduh daripada pertuduhan membantu mengemukakan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan Klinik Bot Bergerak 1Malaysia (KB1M).

Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Elsie Primus, membuat keputusan tersebut pada akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membantu perlakuan kesalahan oleh Rosli Mohammad, pemilik dan pengurus Syarikat Raid Enterprise, yang mengemukakan satu dokumen Pesanan Penghantaran bernombor RE/KBB1M/19/IS/1810 bertarikh 2 Disember 2019 berjumlah RM76,320.

Dokumen tersebut berkaitan perkhidmatan Annual Docking di bawah Kontrak Perkhidmatan Pengendalian dan Pengurusan Klinik Bot Bergerak 1Malaysia (KB1M) di Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan bagi tempoh setahun bermula 1 Mac 2019 hingga 28 Februari 2020.

Pendakwaan mendakwa dokumen itu mengandungi butiran palsu kerana perkhidmatan berkenaan sebenarnya tidak dilakukan dan dikemukakan bagi mengelirukan pihak prinsipal.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 28(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(2) akta berkenaan.

Sementara itu, Rosli sebelum ini telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda oleh mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.