Lelaki maut ditembak abang guna bakakuk

TENOM: Seorang lelaki maut dipercayai ditembak abangnya sendiri menggunakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Kemabong, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun ditemukan dengan beberapa kesan tembakan pada bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 57 tahun, yang juga abang mangsa, berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut akan menembak sesiapa sahaja yang menghampiri kawasan berkenaan.

“Polis kemudian mengepung rumah suspek dan mengarahkannya keluar serta menyerah diri beberapa kali, namun dia enggan berbuat demikian.

“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan, namun suspek masih tidak keluar sebelum bertindak berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata api ke arah pegawai polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang pegawai polis kemudian melepaskan tiga das tembakan bagi mempertahankan diri, menyebabkan suspek terkena tembakan di beberapa bahagian badan.

Katanya, suspek disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala polis turut merampas senjata api bakakuk, senjata api HK MP5, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya.