LDP Jangan Bawa Isu Luar ke Sabah – Anil Sandhu  

KOTA KINABALU: Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Sandhu, menegur Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, agar tidak membawa isu politik dari Semenanjung masuk ke Sabah, sebaliknya menumpukan perhatian kepada agenda perpaduan dan pembangunan negeri.

Beliau merujuk kenyataan Chin yang mendesak agar Ketua Pemuda UMNO dan Pemuda BN Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dihalang memasuki Sabah susulan isu yang berlaku di Semenanjung baru-baru ini.

“Kes itu berlaku di Semenanjung, bukan di Sabah, dan sudah pun reda lebih seminggu tanpa sebarang kesan terhadap keharmonian negeri ini. Tidak wajar ia dibawa masuk seolah-olah Sabah terlibat sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anil, Dr Akmal bukanlah ancaman sebaliknya seorang pemimpin muda yang lantang memperjuangkan kepentingan rakyat dan isu-isu nasional.

“Mengapa beliau mahu diperlakukan seperti pengganas yang perlu dihalang masuk ke Sabah? Tindakan ini hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap perpaduan nasional,” tegasnya.

Beliau menambah, rakyat Sabah kini lebih mengharapkan pemimpin menumpukan usaha terhadap pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat, bukannya mencetuskan polemik yang tidak memberi manfaat.

“Kita hormati suara semua parti, tetapi jangan memanaskan isu yang sudah pun reda. Kalau tidak mahu Dr Akmal bersuara, maka jangan pula cuba menyekat suara orang lain,” ujarnya.

Anil turut menasihatkan Chin agar menumpukan perhatian kepada memperkukuhkan LDP sendiri dan mengembalikan kepercayaan rakyat, bukannya mengalih isu dengan membawa polemik dari luar.

“Sabah tidak harus dijadikan medan politik alih isu. Semua pemimpin mempunyai tanggungjawab lebih besar – menjaga kestabilan politik dan mengutamakan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan BN, khususnya sayap Pemuda, kekal komited bersama rakyat Sabah membina negeri dan negara dengan semangat perpaduan, bukannya dengan sekatan atau larangan yang memecahbelahkan.