KPDN keluarkan dua notis pengesahan harga di Labuan

LABUAN:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengeluarkan dua Notis Pengesahan Maklumat Harga Barangan terhadap dua premis peruncitan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Jumaat.

Notis tersebut dikeluarkan mengikut peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penetapan harga barangan.

Peniaga terlibat diberikan tempoh masa ditetapkan untuk mengemukakan dokumen serta maklum balas kepada pihak berkuasa.

Menurut KPDN, kegagalan mematuhi arahan notis atau penyampaian maklumat tidak benar boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika sabit kesalahan, individu berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

KPDN turut mengingatkan peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan harga ditetapkan secara adil demi kepentingan pengguna.