KUALA LUMPUR: Prosiding membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen ditetapkan untuk sebutan pada 27 Mac ini susulan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Pasangan itu menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-duanya membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.
Peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pengurusan kes terhadap rayuan itu di Mahkamah Rayuan telah ditetapkan pada 22 Mac sementara menunggu rekod rayuan yang masih belum siap.
“Sehubungan itu, kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes ini untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai perkembangan kes di Mahkamah Rayuan. Kami juga mohon kehadiran kedua-dua anak guam pada sebutan kes seterusnya dikecualikan,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan pembelaan untuk kehadiran kedua-dua tertuduh dikecualikan pada sebutan kes seterusnya.
Rozina menetapkan sebutan semula kes itu pada 27 Mac ini untuk pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes di Mahkamah Rayuan dan membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kehadiran kedua-dua tertuduh dikecualikan.
Bung Moktar, 63, yang berkerusi roda kerana mengalami keretakan pada bahagian kaki hadir ke mahkamah bersama Zizie Izette, 44.
Pada 3 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Bung Moktar dan isterinya untuk menggantung perbicaraan membela diri, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.