Kerjasama Strategik GRS-Persekutuan Beri Manfaat Nyata kepada Sabah – Joniston

KIULU: Pendekatan tegas namun konstruktif Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menjalin hubungan dengan Kerajaan Persekutuan menjadi pemacu utama kepada peningkatan perhatian dan peruntukan kepada negeri ini.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keupayaan gabungan itu untuk berinteraksi secara matang dan diplomatik telah memperkukuh kefahaman Putrajaya terhadap keperluan serta aspirasi rakyat Sabah.

Beliau berkata, pendekatan seimbang yang ditunjukkan GRS, selaras dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membuahkan hasil nyata kepada negeri ini.

“GRS membuktikan bahawa apabila kita menyuarakan keutamaan Sabah dengan nada yang jelas dan bersatu, Putrajaya bersedia mendengar serta bertindak.

“Ini dibuktikan melalui peningkatan peruntukan serta kerjasama yang lebih kukuh,” katanya di sini hari iniz

Mengulas lanjut, Joniston turut merujuk kejayaan memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Sabah dan Petronas sebagai satu pencapaian penting hasil rundingan berterusan dan kematangan politik GRS.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan pengiktirafan terhadap hak dan peranan Sabah dalam industri minyak dan gas, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Walaupun slogan seperti ‘Sabah untuk Orang Sabah’ membawa sentimen kuat, kemajuan sebenar hanya dapat dicapai melalui kerjasama strategik, termasuk dengan parti berasaskan Persekutuan.

“Apa yang penting, Sabah kekal dipimpin oleh parti tempatan yang memahami denyut nadi rakyat,” katanya.