KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis yang disifatkan sebagai rakan strategik utama dalam menjamin keselamatan dan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, aspek keselamatan negeri merupakan asas penting kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat serta keyakinan pelabur.
Menurut beliau, dalam kerangka Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), keselamatan adalah pemudah cara utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji inisiatif mewujudkan galeri berkenaan yang dibangunkan di sebuah bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah.
Katanya, galeri itu bukan sekadar ruang pameran, sebaliknya menjadi arkib hidup yang merakam sejarah, pengorbanan dan komitmen warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah.
“Ia adalah saksi perjuangan, pengorbanan dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara, selain menjadi wadah penghargaan kepada anggota yang masih berkhidmat mahu pun yang sudah bersara,” katanya.
Beliau berkata, antara pameran utama di galeri berkenaan ialah insiden Tanduo, Lahad Datu pada 2013, yang terus menjadi lipatan sejarah penting buat rakyat Sabah.
Sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, beliau turut menyeru seluruh anggota PDRM agar terus meningkatkan semangat, disiplin serta integriti dalam melaksanakan tugas demi menjaga keselamatan dan keamanan negara.
