Kerajaan perkukuh jaringan digital POIC Lahad Datu melalui JENDELA

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh infrastruktur komunikasi dan internet di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan kawasan perindustrian strategik itu kekal berdaya saing.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, sebuah menara komunikasi baharu telah siap dibina manakala lima menara sedia ada kini menyediakan perkhidmatan 4G dan tiga struktur komunikasi menyokong perkhidmatan 5G.

Menurutnya, kawasan tersebut turut dilengkapi capaian gentian optik bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan beliau di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, kadar liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah kini mencapai 96.81 peratus setakat November 2025, meningkat berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.

Bagi Parlimen Tuaran pula, kadar liputan meningkat kepada 97.86 peratus daripada 82.52 peratus sebelum ini.