PITAS : Kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian bernilai RM315 juta apabila Parti Warisan menamatkan konsesi syarikat mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata penamatan konsesi sembilan syarikat kontraktor dilantik kerajaan terdahulu menyebabkan kerajaan negeri disaman malah terpaksa membayar pampasan sekali gus menjejaskan pengurusan bekalan air sedia ada.
Katanya, selepas konsesi syarikat terbabit ditamatkan, kerajaan Warisan melantik syarikat baharu pilihan mereka yang tiada pengalaman sekali gus gagal melaksanakan kerja dengan baik untuk mengurus bekalan air di negeri ini.
“Sekarang mereka (Warisan) tuduh kita pula, sedangkan syarikat kontraktor yang mereka lantik sendiri tidak pandai buat kerja. Inilah merupakan masalah air kita sekarang bertambah teruk.
“Rakyat tidak tahu perkara ini sedangkan kerajaan Warisan sebelum ini yang tidak buat kerja dengan betul kerana sikap dendam mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas di sini hari ini.
Hajiji berkata, selepas mengambil alih kerajaan negeri September 2020, beliau dinasihatkan untuk membatalkan konsesi syarikat kontraktor baharu dilantik kerajaan Warisan sebelum itu, namun langkah itu dilihat menambahkan lagi beban kerajaan.
“Kalau kita buat begitu, kerajaan disaman lagi dan kita kena bayar lagi pampasan kepada syarikat konsesi baharu itu. Jadi, saya kata teruskan saja hingga tamat konsesi.
“Saya tidak pandai berdendam atau kacau orang. Saya tidak tamatkan kerja mereka kerana saya prihatin, saya kata teruskan saja kerja.
“Kalau saya macam mereka (Warisan) banyak sudah dibuang, tapi saya tidak buat begitu kerana kita mesti timbang rasa dan beri keadilan,” jelas Hajiji.
Menurut Hajiji, Warisan hanya berbohong menyalahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus berikutan masalah air yang berlaku pada masa ini.
“Saya mahu jelaskan kenapa kita ada masalah air. Warisan yang menyebabkan tambah teruk masalah air kita kerana apabila mereka mengambil alih kerajaan sebelum ini, mereka berdendam kepada kerajaan terdahulu,” kata Hajiji.
Pada Disember 2018, Menteri Pembangunan Infrastruktur di bawah kerajaan Warisan pada masa itu, Datuk Peter Anthony mengumumkan penamatan konsesi syarikat yang mengurus 58 LRA di Sabah berkuatkuasa pada Januari 2019.
Syarikat terbabit yang dilantik kerajaan terdahulu pada 2013 mempunyai kontrak perjanjian selama 20 tahun untuk mengurus LRA di negeri ini.
Berikutan penamatan perjanjian itu, kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan antara RM22 juta hingga RM54 juta bagi setiap syarikat kontraktor dengan jumlah keseluruhan pampasan dibayar kerajaan sebanyak RM315.2 juta.