KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa MA63 tidak mengandungi sebarang peruntukan berkaitan minyak dan gas.
Beliau berkata, MA63 perlu ditafsir secara holistik dengan mengambil kira Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang menjadi asas kepada jaminan autonomi Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, hak terhadap hasil dan kawalan sumber asli termasuk minyak dan gas merupakan sebahagian daripada persetujuan pembentukan Malaysia walaupun tidak dinyatakan secara literal dalam teks MA63.
“Menggunakan tafsiran sempit berasaskan teks semata-mata tanpa mengambil kira konteks sejarah adalah bercanggah dengan semangat federalisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa kerajaan Persekutuan menghormati semangat MA63 dan tidak menggunakan alasan perundangan sempit untuk menafikan hak Sabah.
Tham memberi amaran bahawa kegagalan memahami MA63 boleh menghakis keyakinan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap komitmen reformasi kerajaan Persekutuan.
