Kabinet Sabah terbentuk hasil rundingan semua pihak, peranan ADUN Bebas masih signifikan – Armizan

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan pembentukan Kabinet Sabah yang diumumkan kelmarin bukan keputusan satu parti, tetapi hasil komitmen bersama semua wakil parti yang bersetuju membina hala tuju pentadbiran negeri secara kolektif.

Menurutnya, meskipun lima ADUN Bebas tidak lagi berada dalam struktur parti GRS seperti sebelum penamaan calon, suara mereka tetap memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik, terutama ketika tiada gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Armizan berkata tumpuan utama kerajaan baharu ialah memastikan agenda hak dan kepentingan Sabah kekal menjadi tunjang pentadbiran, sebagaimana terkandung dalam aku janji pilihan raya setiap parti yang kini berada dalam kerajaan.

Beliau turut menekankan tanggungjawab Kabinet Negeri untuk segera memperincikan kepada rakyat kerangka dasar serta agenda utama pentadbiran selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pertama berlangsung, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan mengenai hala tuju kerajaan baharu.

“Sama ada ADUN datang dari parti atau Bebas, apa yang lebih penting ialah komitmen mereka melaksanakan aspirasi rakyat menerusi kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti.

Pembangkang juga kekal relevan sebagai mekanisme semak dan imbang,” katanya sambil berharap usaha membina konsensus ini mampu membuka lembaran baharu pembangunan Sabah.