LABUAN: Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) berjaya mengutip hasil melebihi RM40 juta sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding lebih RM39 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah,Datuk Ewon Benedick berkata JPDS kini menjadi antara jabatan penting di bawah kementeriannya berikutan penyelarasan portfolio pengangkutan negeri.
Menurut beliau, JPDS memainkan peranan utama sebagai badan kawal selia lalu lintas air serta pembangunan dan penyelenggaraan jeti awam, sekali gus menyumbang kepada kelancaran aktiviti ekonomi maritim dan perdagangan negeri.
“Selain mengawal pergerakan trafik air, JPDS turut menyediakan kemudahan seperti Dermaga Kerajaan, Jeti Awam, Jeti Tukar Barangan dan Terminal Pendaratan Penumpang bagi memenuhi keperluan rakyat dan industri,” katanya.
Sementara itu, JPDS dijadual melaksanakan 23 projek pembangunan di bawah RMK-13 dengan peruntukan RM4.75 juta pada 2026, termasuk pembinaan jeti, kemudahan bantuan pelayaran, pengukuhan penguatkuasaan maritim serta pembangunan infrastruktur sokongan di beberapa lokasi strategik di Sabah.
