MELALAP: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar berkata beliau komited membantu komuniti luar bandar khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, dengan memberi tumpuan kepada kebajikan petani, pekebun kecil dan nelayan daripada kumpulan B40.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata tumpuannya kini adalah berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan sokongan politik.
“Sekarang adalah masa untuk bekerja kepada semua rakyat di Tenom dan Melalap,” katanya ketika merasmikan Rumah Terbuka Natal DUN Melalap 2025 di Tenom, hari ini.
Beliau berkata kerjasama akan diperkukuh dengan ADUN Kemabong, Rubin Balang, dan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, bagi melaksanakan program pembangunan di kawasan pedalaman.
Jamawi turut memaklumkan inisiatif konsep Kebun Dapur akan dilancarkan awal tahun depan bagi menggalakkan aktiviti pertanian berskala kecil di peringkat isi rumah.
Beliau turut berharap proses pemulangan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah dapat membantu meningkatkan peruntukan sektor pertanian dan ekonomi luar bandar.
Jamawi turut mengucapkan Selamat Hari Natal 2025 dan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada penduduk DUN Melalap.
