Jadikan pemakaian etnik tadisi kod pakaian rasmi kerajaan – Azizah

KOTA KINABALU : Kerajaan dicadangkan untuk memartabatkan budaya etnik Sabah pemakaian kostum etnik Sabah dijadikan sebagai kod pakaian rasmi dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan.

Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pemakaian baju pelbagai etnik ini bukan sahaja cantik malah mempunyai nilai komersial.

Katanya, pembuat kostum dari pelbagai Etnik Sabah banyak menghasilkan pakaian bermutu tinggi malah menjadi tarikan pelancong luar untuk memilikinya.

“Sebagai memartabatkan pemakaian baju tradisi ini, kita mencadangkan kepada kerajaan agar ia dijadikan kod pakaian rasmi pada majlis rasmi serta majlis tertentu.

“Ketika ini, setiap Khamis kakitangan kerajaan diwajidkan memakai baju batik,”katanya.

Azizah berkata, rakyat perlu berusaha mengekal serta memperkasa budaya, bahasa dan adat etnik di negeri ini.

“Ini penting agar tidak terpinggir dalam arus kemodenan serta teknologi semasa pada masa kini.

“Sabah mempunyai kepelbagaian masyarakat Sabah terdiri daripada 35 etnik dan 217 sub etnik serta lebih 50 bahasa dan 90 dialek perlu dipertahankan untuk diwarisi generasi muda akan datang,” jelas Azizah.