IPG Kampus Gaya juara Pertandingan Debat Piala Presiden UPKO

KOTA KINABALU: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampung Gaya menjuarai Pertandingan Debat Piala Presiden UPKO yang berlangsung di Dewan Auditorium Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.

Menewaskan pasukan dari universiti itu, IPG Kampus Gaya menerusi pasukan, Dharma D’gaya memperoleh hadiah wang tunai RM3,000 sekaligus berjaya menggagalkan usul kerajaan (UMS) iaitu “Sudah tiba masanya kita berikan kuota khas belia dalam keahlian Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah”.

Pasukan berkenaan dianggotai Ezmal Padu, Nur Aisyah Aqilah Irwan, Said Yasser dan Nurul Syahirah Sabaruddin yang turut membawa pulang piala dan sijil pencapaian.

Ezmal turut menyandang anugerah Pendebat Terbaik Pertandingan itu.

Pertandingan itu menyaksikan UMS menerusi pasukan RhetoriGoats dianggotai Siti Nadjazuldina, Umair Sarip, Ahmad Faiz Zakwan dan Mohamad Fazli Losimin sebagai naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tempat ketiga (hadiah wang tunai RM1,500); keempat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah (RM1,000), manakala enam pasukan lain menerima saguhati bernilai RM500.

Seramai lima panel menjuri pertandingan akhir semalam diketuai Alumni Debat Universiti Malaysia (MADUM) juga Alumni Majlis Orator Universiti Malaya, Mohd Luqmanul Hakim Malik.

Presiden UPKO merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick hadir dan menyempurnakan majlis penutupan berkenaan.

Pertandingan itu berlangsung sejak kelmarin (22 Ogos) disertai 10 pasukan dengan 40 peserta.

Pertandingan itu diadakan sempena bulan kemerdekaan yang bertujuan memupuk semangat patriotik, mengasah bakat kepimpinan, kemahiran berbahas dan meningkatkan pengetahuan belia terhadap isu semasa.

Sementara itu, Ezmal berkata, pertandingan itu penting dalam meningkatkan literasi belia terhadap dasar kerajaan dan isu-isu semasa.

“Pertandingan seperti ini wajar diteruskan kerana ia membantu belia, terutamanya di Sabah, mendalami isu semasa serta mengasah kemampuan kepimpinan,” katanya.