KOTA KINABALU : Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menerima sumbangan Mesin Rehabilitasi (Mesin Painbot) bernilai RM380,000 daripada Syarikat Jetama Sdn.Bhd.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, mesin tersebut bukan sekadar alat perubatan, tapi satu bentuk sokongan dan harapan kepada pesakit yang bergantung kepada rawatan inovatif untuk mengatasi kesakitan yang dialami.

Katanya, sejak diperkenalkan di Hospital UMS pada bulan Disember 2023, Mesin PainBot digunakan sebanyak 627 kali untuk pesakit yang menjalani rawatan di Pusat Rawatan Rehabilitasi HUMS.
“Ini adalah satu pencapaian signifikan yang menunjukkan penerimaan positif dan keberkesanan mesin ini dalam pengurusan kesakitan.
“Mesin ini berperanan mempercepatkan proses pemulihan pesakit dan membantu menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya di sini hari ini.
Kasim berkata, selain daripada mengurangkan masa pemulihan, Mesin PainBot membantu mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit yang sememangnya meninggalkan kesan sampingan jangka panjang.
“Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggipenghargaan kepada Syarikat Jetama Sdn. Bhd. atas sumbangan yang sangat bermakna ini.
“UMS berharap agar kerjasama ini akan menjadi contoh kepada lebih banyak syarikat untuk menyokong usaha memajukan sektor kesihatan di Sabah dan Malaysia secara amnya,” jelas Kasim.
Kasim menyempurnakan gimik penyerahan Mesih Painbot yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jetama Sdn. Bhd, Datuk Yussof Abd Manan.