TAWAU: Hospital Tawau bakal dinaik taraf menjadi pusat rujukan utama bagi pesakit jantung di Pantai Timur Sabah dengan penambahan 150 katil, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau menjelaskan inisiatif ini termasuk pembukaan Makmal Invasif Kardiologi (ICL) pertama di wilayah Pantai Timur Sabah, membolehkan rawatan seperti angiogram dan angioplasti diberikan secara tempatan.
“Pesakit sebelum ini terpaksa merantau ke Kota Kinabalu atau Kuching untuk mendapatkan rawatan jantung. Dengan ICL, pesakit kini boleh mendapat rawatan segera tanpa perlu keluar negeri,” kata Dr. Dzulkefly di Tawau hari ini.
Menurut beliau, hospital mensasarkan masa ‘door-to-ECG’ kurang 10 minit dan ‘door-to-balloon’ kurang 90 minit, selaras standard antarabangsa untuk rawatan jantung segera.
Selain meningkatkan kapasiti katil, kementerian turut memastikan Hospital Tawau dilengkapi infrastruktur, ekosistem dan kepakaran setara hospital utama di seluruh negara.
“Langkah ini memastikan warga Pantai Timur Sabah mendapat rawatan berkualiti di tempat sendiri, sambil mengurangkan risiko komplikasi dan kematian akibat kelewatan rawatan,” tambahnya.
Dr. Dzulkefly berkata projek ini merupakan sebahagian daripada usaha KKM memperkukuh sistem kesihatan di Sabah, terutamanya bagi perkhidmatan kritikal seperti kardiologi.
