TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menafikan dakwaan pembangkang kononnya tiada perubahan dibawa ke kawasan Sulaman sepanjang beliau memegang kerusi itu selama lapan penggal.
Sebaliknya, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menegaskan beliau berjaya membawa pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat tempatan, termasuk projek perumahan dan kemudahan asas.
“Rakyat Sulaman tahu apa yang kita laksanakan. Sokongan mereka selama ini membuktikan mereka yakin kita akan terus membawa perubahan positif,” kata Hajiji pada Sesi Ceramah PDM Indai, DUN Sulaman, semalam.
Antara pencapaian besar beliau ialah pembinaan kampung tersusun di Mengkabong dan Kampung Penimbawan, menggantikan rumah atas air kepada rumah atas tanah yang lebih selesa, serta pemberian rumah percuma untuk setiap keluarga nelayan.
Hajiji berkata kerajaan negeri turut menumpukan perhatian kepada pembangunan belia, termasuk Kompleks Sukan Tuaran yang sedang dibina dengan kos RM15 juta dan menyediakan ruang untuk pelbagai aktiviti, termasuk cadangan pembangunan trek kereta go-kart.
Projek pembangunan infrastruktur juga mendapat perhatian, termasuk naik taraf jalan antara Bulatan Berungis hingga Batangan menjadi jalan dua hala empat lorong dan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dari Serusup, Tuaran ke Binturu, Kota Belud, dijangka siap dalam dua tahun.
Beliau menegaskan semua usaha ini bertujuan mengubah wajah Sulaman dan Tuaran menjadi kawasan lebih maju dengan keperluan asas rakyat dipenuhi. Hajiji yakin majoriti daripada 1,918 pengundi berdaftar di PDM Indai akan memberi mandat kepada beliau sekali lagi pada PRN Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Selain ceramah, Hajiji turut meluangkan masa melawat beberapa markas di PDM dalam kawasan DUN Sulaman bagi bertemu pengundi dan jentera parti, sambil menekankan komitmen untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
