Gagasan Rakyat sudah sedia hadapi PRU16, fokus calon Tawau

TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini dalam keadaan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk mengenal pasti calon berpotensi di kawasan Tawau.

Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya mengemukakan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan bagi tujuan pemilihan awal.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan calon yang dipilih menepati kehendak rakyat serta mampu membawa aspirasi kerajaan perpaduan.

“Calon yang diketengahkan mestilah diterima rakyat dan mampu memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Rumah Terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri, di Dewan Masyarakat Tawau di sini hari ini.

Nizam merupakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah turut memaklumkan jentera parti sentiasa aktif dan meneruskan gerak kerja selepas Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini.

Tambahnya, beliau yakin rakyat akan terus menyokong kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu.