KOTA KINABALU: Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah akan terus diperkasa sebagai jentera utama parti dalam memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih tersusun dan berkesan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan biro itu kini semakin kritikal dalam mendepani cabaran landskap politik semasa yang dipenuhi pelbagai persepsi serta maklumat tidak tepat.
Menurutnya, kesiapsiagaan jentera penerangan perlu dipertingkatkan di semua peringkat, termasuk penguasaan naratif, penggunaan media digital serta keupayaan komunikasi yang efektif.
“Biro Penerangan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menjadi benteng utama parti dalam mempertahankan dasar serta menangkis fitnah,” katanya.
Beliau menambah, latihan dan program bersepadu akan terus dilaksanakan bagi memastikan jentera parti benar-benar bersedia menghadapi PRU.
