TAWAU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dikenalpasti kini dilihat sudah menjadi parti tempatan paling popular dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sudah tiba masanya rakyat perlu bersatu dalam satu parti tempatan sekali gus ikhlas menjaga kebajikan rakyat serta membangunkan negeri Sabah.
Katanya, ketika kini kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) GRS-PH Plus memerintah terdapat banyak perubahan positif dapat dirasai oleh rakyat.
“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sudah menunjukkan kemampuannya dalam menjaga hak-hak rakyat di Sabah dengan cemerlang.
“Gagasan Rakyat akan kekal memerintah negeri Sabah kerana sokongan padu dan keyakinan yang ditunjukkan oleh rakyat ketika ini semakin bertambah,” katanya di sini semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau yakin rakyat akan memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Gagasan Rakyat untuk memimpin Sabah ke arah yang lebih cemerlang.
Mengulas mengenai pelantikannya sebagai Ketua Penyelaras Zon 12, beliau.berkata, ini merupakan satu tanggungjawab besar bagi memastikan semua bahagian parti Gagasan Rakyat di parlimen Tawau dan Kalabakan sentiasa diterima rakyat.
Menurutnya, Zon 12 meliputi bahagian Apas, Balung, Sri Tanjung, Tanjung Batu, Kukusan, Merotai dan Sebatik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Gagasan Rakyat kerana telah memberikan kepercayaan untuk menyelaras zon 12 ini.
“Kerjasama dalam kalangan pimpinan Zon 12 berada dalam keadaan baik dan kita telah memperkemaskan jentera pilihan raya bagi memastikan semua calon menang di bahagian masing-masing,” jelas Nizam.
