KOTA KINABALU: Noor Hafizah Zubaidi, atau lebih dikenali sebagai Fifiana, mencipta detik bermakna dalam perjalanan sukannya apabila beraksi buat kali pertama di kejohanan ultra trail berprestij, Chiang Mai UTMB yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember lalu di Thailand.
Disertai pelari-pelari hebat dari seluruh dunia, Chiang Mai UTMB yang dianjurkan oleh Running Connect Company Limited merupakan sebahagian daripada siri utama UTMB World Series — platform yang menjadi idaman setiap pelari denai.
Untuk penampilan sulungnya, Fifiana memilih cabaran paling ekstrem: kategori 160KM. Laluan itu bukan sahaja panjang, malah menuntut ketahanan luar biasa dengan pendakian keseluruhan 9,711 meter, had masa 48 jam, serta cut-off ketat di setiap checkpoint.
“Ini impian setiap pelari denai. Saya mahu cabar diri dengan menamatkan 160KM di sini,” katanya ketika ditemui.
Walaupun baru pertama kali menyertai UTMB, sepanjang tahun ini Fifiana aktif bertanding dengan menyertai sembilan marathon jalan raya di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Miri, Kuching, Putrajaya, Kuala Lumpur serta Osaka, Jepun.
Anak jati Tamparuli ini turut memiliki pengalaman dalam perlumbaan denai di Sabah, termasuk Kadamaian Adventure Race (60KM) dan TMBT (50KM) — menggambarkan komitmennya dalam membina kekuatan di kedua-dua disiplin, jalan raya dan denai.
Selain aktif berlumba, Fifiana juga berperanan sebagai pemimpin komuniti larian RUNSYND di Kota Kinabalu, sebuah kumpulan yang menganjurkan sesi latihan percuma dan berbayar untuk pelari baharu dan berpengalaman.
Usaha itu membantu membina budaya larian yang positif dan inklusif dalam kalangan masyarakat Sabah.
