TAWAU : Tiga lelaki dan seorang wanita diberkas kerana disyaki memecah masuk sebuah rumah di sekitar Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, 13 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, pihak Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 57 tahun yang bekerja sebagai peniaga mendakwa rumahnya telah dipecah masuk.
Katanya, mangsa menyedari pagar depan rumahnya telah terbuka dan mangga pagar juga telah dirosakkan, pemeriksaan di kawasan rumah mangsa mendapati, terdapat beberapa barang telah hilang dipercayai dicuri seperti sebuah generator, sebuah bersaiz besar dan sebuah kotak peralatan mekanik.
“Bertindak atas maklumat pada 21 Mei yang lalu kira-kira jam 10.30 pagi sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memberkas seorang suspek lelaki warga asing berumur 43 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas.
“Hasil semakkan rekod jenayah lampau, suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan 1 rekod berkaitan dadah,” katanya salam kenyatan media di sini semalam.
Jasmin berkata, susulan dari tangkapan itu, pada hari yang sama kira-kira jam 11.45 pagi, pihak Polis telah memberkas seorang lagi suspek wanita berumur 39 tahun warga tempatan dan seorang suspek lelaki warga tempatan berumur 16 tahun di sekitar Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, Tawau kerana dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat.
“Hasil semakkan rekod jenayah lampau kedua-dua suspek mendapati, suspek wanita tersebut mempunyai empat rekod jenayah dan seorang lagi suspek lelaki tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” jelas Jasmin.
Tambahnya, sekali lagi pada hari yang sama kira-kira jam 12.00 tengahari, sepasukan Polis memberkas seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berumur 41 tahun di sekitar kawasan Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian.
“Kita juga berjaya menemui semula sebuah generator, sebuah bersaiz besar dan sebuah kotak peralatan mekanik yang telah dilaporkan hilang oleh mangsa,” katanya.
Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, ACP Jasmin menyeru masyarakat di Daerah Tawau khususnya agar dapat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah termasuk dikalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang di talian hotline 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Tegas ACP Jasmin lagi, masyarakat di daerah ini diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dan menyebarkan berita-berita yang belum ditentukan kebenarannya serta boleh menggusarkan dan mengancam keselamatan orang ramai.
