DBKK perlu terap, amalkan konsep cekap dan pantas – Hajiji

KOTA KINABALU : Konsep cekap dan pantas perlu sentiasa diterap dan diamalkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam pelaksanaan semua dasar, program dan perkhidmatannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selepas dinaik taraf sebagai bandar raya, DBKK menggalas tugas dan tanggungjawab yang lebih besar bagi mengekalkan penyampaian perkhidmatan yang terbaik.

Hajiji bersalaman dengan pegawai DBKK hadir pada malam tersebut.

Beliau berkata, ekspektasi penduduk Bandaraya Kota Kinabalu semakin kian mencabar dan sentiasa memerlukan perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien, terutama pada masa sekarang.

“Saya menyarankan agar konsep cekap dan pantas sentiasa diterapkan dan diamalkan dalam pelaksanaan semua dasar.

“Ini termasuk program dan perkhidmatan yang direncanakan agar kesejahteraan rakyat di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dapat dikekalkan,” katanya.

Hajiji berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang progresif, DBKK melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran. 

“Ini termasuk menggalakkan inovasi, serta memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang mampan dan mesra rakyat,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau berharap semua usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan Kota Kinabalu terus menjadi sebuah bandar raya memenuhi kehendak pengunjung terutama warganya.

“Dalam era globalisasi dan cabaran pembangunan bandar semakin kompleks, DBKK perlu bersiap siaga untuk memastikan infrastrukturnya dapat menampung pertumbuhan pesat penduduk.

“Perlu diingat bandar raya ini juga merupakan destinasi pelancongan utama dan pintu masuk yang popular bagi pelancong yang melawat ke negeri ini,” kata Hajiji.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mengekalkan pencapaian tersebut dan menyokong apa jua usaha strategik DBKK yang bakal dilaksanakan.

“Antara pelaksanaan inisiatif bandar pintar KK dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC), pemantapan Undang-Undang sedia ada.

“Pemerkasaan sistem jalan dan pengangkutan awam, menaiktaraf kemudahan asas Bandaraya Kota Kinabalu melalui permohonan projek Rancangan Malaysia (RMK) ke-13,” tambahnya.