Buaya 15.8 kaki tumpas ditembak di Sungai Merotai

TAWAU: Seekor buaya gergasi sepanjang 15.8 kaki berjaya ditembak dalam operasi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, hari ini.

Operasi itu dijalankan selepas penduduk kampung meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka kerana sering melihat kelibat buaya di Sungai Merotai.

JHL Tawau memaklumkan beberapa pancing dipasang sejak 25 Januari bagi mengesan reptilia berkenaan sebelum ia berjaya ditembak pada keesokan harinya.

Pasukan Bomba Sukarela Merotai, diketuai oleh Muhammad Fakir merangkap Timbalan Ketua Bahagian Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS)  turut membantu operasi dengan menggunakan bot bagi menjejak pergerakan buaya tersebut.

Penduduk dinasihatkan supaya menjauhi kawasan sungai buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.