KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah melancarkan manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menampilkan enam tonggak pembangunan, dengan komitmen utama menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya dalam satu penggal.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata manifesto itu adalah “aku janji sebenar”, bukan sekadar tawaran politik, walaupun BN mengakui kedudukan sebagai underdog dalam PRN Sabah ke-17.
Beliau berkata RPS1 disiapkan seminggu sebelum penamaan calon namun dilancar lewat bagi memberi ruang rakyat membandingkan tawaran BN dengan parti lain.
Zahid juga menegaskan BN Sabah dan Umno negeri diberi autonomi penuh melaksanakan semua aku janji itu. Katanya, keyakinan terhadap pelaksanaan manifesto diperkukuh komitmen Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, yang “tetap bersama rakyat walau berdepan cabaran”.
BN meletakkan 45 calon, dengan 81 peratus muka baharu, hampir separuh daripadanya profesional dan belia.
Zahid turut menekankan penyelesaian infrastruktur asas sebagai keutamaan serta menarik perhatian bahawa Sabah menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026.
Hari mengundi PRN Sabah ditetapkan pada 29 November, dengan undi awal pada 25 November.
