PAPAR: Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 esok dengan tema “Bikin Balik Sabah”, yang menurut pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi akan menumpukan penyelesaian masalah asas yang terus menghantui negeri itu: air, elektrik dan jalan raya.
Timbalan perdana menteri itu mengakui tiga isu berkenaan masih menjadi aduan utama rakyat, dan manifesto tersebut – yang akan diumumkan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin – turut memuatkan komitmen menangani pengangguran, pelaburan, perumahan anak muda dan pembangunan ekonomi.
“Sebanyak 17 peratus daripada kira-kira 165,000 anak muda Sabah adalah penganggur. Ini bermaksud satu daripada lima penganggur negara berasal dari Sabah,” katanya dalam sidang media di Papar.
Zahid berkata BN akan menggerakkan pembangunan ekosistem TVET bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri itu.
“Kita mahu anak Sabah bekerja di Sabah. Pelaburan dan industri mesti dibawa masuk ke sini,” katanya, sambil menambah lebih 300,000 penduduk Sabah kini berada di Pasir Gudang dan 250,000 lagi di Lembah Klang, satu angka besar yang menunjukkan kapasiti tenaga kerja negeri.
Mengenai strategi melancarkan manifesto selepas minggu pertama kempen, Zahid berkata pemilihan tarikh itu bertujuan memaksimumkan liputan media.
“Sabtu memberi ruang liputan media cetak dan segmen berita utama malam minggu,” katanya.
BN bertanding di 45 daripada 73 kerusi DUN, termasuk dua kerusi di Parlimen Papar – Kawang (Datuk Jamal Nerubi) dan Pantai Manis (Redzuan Ismail).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Nov sebagai hari undi awal dan 29 Nov sebagai hari pengundian.
