Bendung permintaan dan penawaran dadah haram di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Usaha bersepadu harus diambil untuk mengurangkan bilangan penagih dadah dan pengguna bahan terlarang sekali gus membendung permintaan serta penawaran dadah haram di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah merekodkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus dalam jumlah penagih dadah dan pengguna bahan terlarang dengan 9,207 dikesan tahun lalu.

Katanya, ini berbanding 8,567 pada tahun 2023, tetapi angka ini hanya mewakili 4.8 peratus daripada statistik nasional.

“Sabah mencatatkan kadar penagihan sebanyak 246 selari dengan sasaran nasional iaitu tidak lebih daripada 400 penagih dan penyalah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk.

“Angka ini menunjukkan peningkatan di seluruh negara dan hampir semua negeri. Trend peningkatan ini menjadi cabaran dan kebimbangan kepada kita semua,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, usaha bersepadu perlu digembeleng untuk menangani masalah ini, terutamanya dalam mengekang penawaran dan permintaan dadah di negeri ini.

“Tahun ini, fokus akan diberikan untuk menghijaukan dua kawasan berisiko tinggi, iaitu Penampang dan Balung di Tawau.

“Kita berjaya mencapai penghijauan kawasan Penampang dan Balung, Presiden Majlis Perbandaran Penampang dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau merupakan pengerusi MTMD daerah dilantik sebagai penyelaras kawasan berisiko tinggi di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata usaha juga akan diambil untuk mengekalkan status “hijau” tujuh kawasan berisiko tinggi, iaitu Likas, Inanam, Luagan, Patikang dan Tuarid Taud, Tanjung Batu dan Merotai.

“Saya menyeru agar semua ahli yang hadir dapat memberi perhatian dan mengambil peluang untuk mengutarakan pandangan serta syor yang boleh dilaksanakan.

“Ini khususnya dalam usaha membanteras permasalahan dadah di Negeri Sabah bagi mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025,” katanya.

Beliau berkata dadah masih merupakan Musuh Nombor Satu Negara oleh itu kerjasama semua ahli mesyuarat adalah dimohon untuk komited dan berganding bahu membanteras ancaman ini demi masa depan generasi akan datang.